Isnin, 21 Oktober 2013

Orang UMNO khianat TRANSFORMASI sendiri??

1. Andai dilihat senarai Naib Presiden dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang baru dipilih oleh perwakilan untuk penggal 2013/16, tiadalah transformasi sangat sepertimana yang dicanangkan Najib.
2. Jika bersandarkan agenda konon untuk 'meremajakan' UMNO, siapalah dikalangan MKT di atas yang 'remaja' sangat tu? Tapi kalau masing-masing bernafsu remaja...den pecayo!

3. Apa pun tahniah but no tahniah (macam thanks but no thanks...boleh ka?) kepada muka lama yang berjaya mengekalkan jawatan serta muka baru yang tersenarai. Kepada yang kalah, kami percaya setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya.

4. Rasa tak sabar pula nak tengok agenda 'transformasi' dan 'peremajaan' yang bakal dilaksanakan oleh ramai muka lama dan sedikit muka baru dalam UMNO selepas ini. Pasti akan wujud lebih banyak idea liberal atau sekurangnya tindakan progresif berani mati sebelum PRU-14. Yang pasti mulai sekarang suara agenda Melayu dan Islam pasti tidak akan lekang dari bibir pemimpin-pemimpin UMNO yang telah menang. Jadi orang Melayu tak perlu la risau sangat. Heh! Tunggguuuu...

5. Tapi rasanya ramai percaya kedudukan Hisham daripada No 2 ke No 3 Naib Presiden UMNO dalam Pemilihan UMNO kali ini merupakan undi protes perwakilan terhadap prestasi lembiknya selama 5 tahun ini. Hisham hanya terselamat sebab UMNO Johor dan Pahang tidak berkongsi sentimen sama dengan UMNO negeri lain. Jelas UMNO Johor dan UMNO Pahang telah mengkhianati makna sebenar transformasi yang menjadi slogan Presiden mereka sendiri.

6. Kami nak sentuh satu perkara berkenaan Pemilihan UMNO yang baru selesai yang mungkin boleh difikirkan bersama terutama oleh pengamal media maya yang betitik tolak daripada kekalahan Tun Faisal aka Ketua UMB untuk jawatan MKT.

7. Ramai maklum bahawa Tun Faisal agak popular di alam maya, tetapi kurang popular dikalangan perwakilan UMNO. Kenapa? Adakah kemungkinan kebanyakan ahli UMNO tidak pun membaca isu yang diperdebatkan di media maya? Andai begitu halnya, calonlah nama-nama besar di alam maya seperti Dr. Novandri, Dinturtle, OutSyedTheBox, The Unspinner, Papagomo, Parpukari etc. belum tentu mereka boleh menang dalam Pemilihan UMNO.

8. Jika dibuat analisis berdasarkan kemenangan besar KJ mempertahankan jawatan Ketua Pemuda UMNO, membuktikan bahawa isu yang dimainkan pengamal media maya sebenarnya tidak pun memberi impak fikir kepada orang UMNO. Malah tidak mustahil kebanyakan isu yang dibincangkan di media maya tidak sampai pun kepada mereka.

9. Pelbagai isu yang dibincangkan dalam blog, facebook mahupun youtube kebanyakannya dibaca oleh saluran 3, 4 dan 5, yakni golongan muda yang layak mengundi di PRU tetapi majoritinya bukan pun ahli UMNO. Rentetan sering terdedah kepada pelbagai maklumat, menyebabkan majoriti saluran 3, 4 dan 5 tidak mengundi BN di PRU-13 kerana mereka maklum akan segala isu yang sedang melanda parti itu.

10. Berbeza dengan kebanyakan orang UMNO yang masih terbelenggu dengan kaedah konvensional untuk mendapatkan maklumat iaitu melalui visual dan pembacaan media massa arus perdana serta maklumat langsung daripada Ketua Bahagian, Ketua Cawangan, Ketua Wanita, Ketua Pemuda etc. kursus serta seminar anjuran parti masing-masing. Dan kita maklum sudah tentu maklumat yang disampaikan oleh pemimpin serta media arus perdana pastilah khabar yang baik-baik belaka, tanpa sebarang cacat celanya UMNO dan pemimpin mereka itu. Jika ada hal buruk mengenai pemimpin dan parti pun, pasti tidak akan dikongsi dengan ahli akar umbi.

11. Jadi tidak keterlaluan jika dikatakan kebanyakan orang UMNO tidak tahu pun isu yang hangat diperdebatkan di media maya terutamanya komen-komen berkenaan permasalahan Islam dan Melayu yang membabitkan pemimpin serta parti mereka dan disebabkan itulah kadangkala orang UMNO menjadi ego dan syok sendiri.

12. Berdasarkan pengalaman bergaul dengan orang UMNO sekian lama, rata-rata mereka masih tidak sedar yang hari ini betapa meluatnya rakyat yang bukan ahli UMNO terhadap gelagat dan kelaku pemimpin semasa mereka. Berdasarkan pengalaman juga kebanyakan ahli UMNO masih tidak menyedari agenda transformasi liberal yang digagaskan oleh pemimpin nombor satu mereka telah ditolak oleh majoriti rakyat bukan ahli UMNO yang telahpun diterjemahkan dalam bentuk undi di PRU-13 lalu.

13. Orang Melayu yang bukan ahli UMNO terpaksa mengundi UMNO di PRU-13 hanya disebabkan mereka tiada alternatif yang lebih baik, bukan sebab mereka yakin dengan agenda transformasi liberal yang dibawa oleh UMNO.

14. Mungkin sudah sampai masanya segala isu serta komen daripada orang Melayu yang bukan ahli UMNO mengenai UMNO dan pemimpinnya sepertimana yang selalu dibincangkan di media maya, tidak hanya terbuku dalam media maya samata.

15. Mungkin sudah tiba ketikanya untuk segala isu yang dibincangkan di media maya dicetak dalam bentuk hard copy serta diedarkan setiap bulan sebagai bahan bacaan intelek orang UMNO berkenaan segala isu serta masalah yang membelenggu pemimpin serta parti mereka. Orang UMNO akar umbi seWAJIBnya disedarkan dengan sentimen sebenar Orang Melayu yang bukan ahli UMNO terhadap parti mereka sendiri.

16. Mungkin makalah berbentuk buletin maya atau 'Buletin Blog' perlu dicetak sebagai sumber maklumat alternatif kepada orang UMNO agar mereka tidak ketinggalan info terkini berbanding maklumat yang dicerna oleh penyokong pembangkang. Bukan sekadar dicetak apabila sudah hampir PRU saja kerana kebanyakan maklumat dalam media maya yang dicetak semasa PRU lebih tertumpu kepada isu pembangkang dan bukannya isu dalaman yang melanda UMNO.

17. Yang menjadi masalah mungkin adalah dana untuk menjadikan 'Buletin Blog' satu realiti. Pasti tiada siapa dikalangan pemimpin UMNO dengan sengaja sanggup untuk menaja buletin yang bakal mendedahkan pekong mereka sendiri.

18. Namun jika ianya berjaya direalisasikan, pasti UMNO akan benar-benar ditransformasikan mengikut acuan intelek ahli akar umbi dan bukan hanya mengikut telunjuk transformasi liberal Presiden, Naib Presiden 3, Ketua Bahagian mahupun Ketua Pemuda UMNO Malaysia.

19. Dan mungkin juga selepas itu tiada lagi alasan Pemilihan UMNO 2016 terpaksa ditangguhkan dengan hujah dangkal konon ingin mengekalkan perpaduan dalam parti demi menghadapi PRU-14. Alasan setiap kali nak dekat PRU oleh pemimpin UMNO yang sering menjadi bahan jenaka rakyat. Hanya pemimpin UMNO yang takut hilang jawatan saja akan mencipta alasan sedemikian. Ada sebab orang dulu menggubal Pemilihan UMNO supaya diadakan setiap 3 tahun dan bukannya 5 tahun. Hanya pemimpin UMNO bingai saja yang tidak faham makna tersirat perlembagaan UMNO digubal sebegitu sejak dulu.

20. Sifirnya mudah saja, berani berubah atau kalah PRU-14. Pilihlah yang mana suka - paneh

Tiada ulasan:

Catat Ulasan