Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menunjukkan produk sos cili Alhikmah ketika mengunjungi gerai perniagaan sos cili dan kicap keluaran Al-Hikmah Sdn. Bhd. selepas merasmikan Karnival Usahawan Desa (KUD) 2013 di Laman 1Malaysia, Presint 2, Putrajaya baru-baru ini. KUD adalah antara salah satu usaha yang dilakukan kerajaan dalam memperkasakan ekonomi bumiputera di luar bandar.
Isu tentang agenda pemerkasaan ekonomi bumiputera yang dilancarkan secara simbolik oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam baru-baru ini mungkin ada dalam senarai topik tumpuan Bajet 2014.
Perkara melibatkan pemerkasaan bumiputera perlu terus dibincangkan agar agenda penting ini tidak hanya tinggal sebagai satu 'agenda' semata-mata tanpa pelaksanaan yang perlu dibuat secara holistik.
Agenda penting ini perlu terus diperdebatkan agar kedudukan, penglibatan dan prestasi bumiputera dalam bidang perniagaan dan penguasaan ekonomi dapat menghasilkan satu 'tonik' yang dapat membantu 'survival' bumiputera. Agenda nasional ini sangat penting dalam memastikan orang Melayu dan bumiputera yang mewakili 67 peratus rakyat negara ini dapat mempertingkatkan ekonomi mereka ke tahap yang lebih tinggi.
Dalam memastikan agenda ini tidak hanya dapat dinikmati oleh sebahagian kecil kelompok bumiputera sahaja, satu anjakan yang besar dalam membantu usahawan perlu dilakukan. Tidak cukup sekadar melancarkan kempen dan slogan. Sebaliknya, usahawan-usahawan kecil di kampung-kampung perlu 'dicari' dan dibantu sepenuhnya untuk meningkatkan perniagaan mereka.
Mungkin sudah ada yang dibantu tetapi hakikatnya masih ramai yang terkontang-kanting bertahun-tahun menjalankan perniagaan dengan cara lama.
Adakah kita sudah cukup berbangga dengan hanya satu atau dua nama bumiputera sahaja yang berjaya? Adakah kita sudah berjaya jika masih ada kaum bumiputera yang berpuluh tahun dulu berniaga kedai makan, kedai photostat, kedai alat tulis sehingga sekarang masih berniaga dengan cara yang sama, saiz kedai yang sama bahkan pekerja pun masih ada yang sama.
Kita harus menerima hakikat yang kita perlu melahirkan lebih ramai 'jaguh' dalam kalangan Melayu dan bumiputera. Setiap tahun kita menyenaraikan kedudukan orang terkaya di Malaysia oleh beberapa agensi. Namun, hanya dua atau tiga nama Melayu atau bumiputera yang dicatat setiap tahun.
Paling menyedihkan bila senarai dikecilkan kepada 10 terkaya, tinggallah satu nama. Apakah kita sudah boleh berbangga dan berpuas hati dengan satu atau dua nama sahaja? Agenda nasional ini perlu melahirkan lebih ramai 'jaguh' usahawan Melayu dan bumiputera.
Agenda nasional ini tidak akan berjaya sekiranya gagal 'menjemput' kaum bumiputera khususnya generasi muda untuk melibatkan diri secara serius.
Penglibatan secara holistik daripada semua pihak termasuklah golongan bawahan dan pertengahan adalah penting dalam memastikan ke lima-lima fokus pemerkasaan berjaya direalisasikan.
Hakikat yang perlu kita akui, kita masih dibelenggu 'penyakit' lama, iaitu sikap ingin cepat kaya. Lihat saja berapa ramai orang kita yang menjadi mangsa dengan program yang kononnya akan menjadikan mereka 'kaya ekspres', ramai yang menjadi mangsa adalah orang yang kita panggil bumiputera dan Melayu.
Penyakit ini perlu dicegah daripada menular dalam kehidupan bumiputera. Sikap tidak yakin pada diri sendiri juga adalah salah satu penyakit lama yang masih menebal. Satu program bersepadu perlu digerakkan untuk mengubati penyakit ini.
Bumiputera Self-Transformation Program (BSTP) boleh dilakukan dengan kerjasama IPTA tempatan untuk memastikan kumpulan sasaran ditransformasi terlebih dahulu sebelum melaksanakan agenda pemerkasaan bumiputera dengan lebih terperinci.
Satu ketika dulu penulis pernah mencadangkan semasa memberi maklum balas terhadap Kongres Ekonomi Bumiputera yang lalu, satu unit khas 'National Entrepreneurship Institution' yang boleh mengambil peranan dalam pembangunan usahawan bumiputera perlu diwujudkan bagi tujuan tersebut.
Kini, Majlis Ekonomi Bumiputera akan ditubuhkan dan penubuhan unit Pembangunan Usahawan Bumiputera di semua kementerian diharapkan akan dapat menarik lebih ramai penyertaan dan memberi peluang yang lebih besar kepada usahawan.
Penubuhan unit dan majlis ini menjelaskan lagi betapa kerajaan begitu serius dalam memastikan agenda memperkasakan ekonomi bumiputera mencapai kejayaan.
Kita berharap TERAJU yang menjadi sandaran dan harapan bumiputera benar-benar memainkan peranan sebagai 'teraju' dalam memperkasakan ekonomi bumiputera. Kalau ibarat kita bermain wau, jika kena terajunya pasti wau akan naik tinggi walaupun angin tidak begitu mencukupi.
Sebaliknya, walaupun mempunyai angin yang cukup tapi teraju yang tidak menjadi, wau bukan sahaja tidak naik bahkan akan tunduk jatuh menyembah bumi. Isu lama yang telah menjadi 'barah' dalam membincangkan ekonomi Melayu dan bumiputera adalah soal ketirisan.
Isu mengenai distribution justice perlu ditangani sepenuhnya agar pemerkasaan ekonomi bumiputera ini mampu meresap masuk kepada golongan sasaran. Kita juga berharap melalui dasar afirmatif kerajaan, kekayaan dapat diagihkan secara adil kepada semua bumiputera dan tidak hanya kelompok tertentu sahaja.
Sokongan semua pihak amat ditagih dalam memastikan pemerkasaan ekonomi bumiputera menjadi realiti. Selagi ia memberi manfaat kepada orang Melayu, bumiputera dan orang Islam sepatutnya semua pihak menyokong dalam merealisasikan hasrat murni tersebut.
Sudah sampai masanya kita keluar daripada kepompong lama, kita harus bersifat terbuka dan sentiasa berusaha merebut peluang demi kelangsungan ekonomi bumiputera. Tidak perlu kita riuh rendah dengan hanya sebiji telur yang dikeluarkan sedangkan 'itik-itik' dan 'angsa-angsa' lain sibuk mengeluarkan telur yang banyak tanpa riuh rendah dan bertelagah.
Bumiputera dan Melayu khususnya perlu lebih proaktif dan berani menggalas cabaran dalam meningkatkan ekonomi bumiputera. Jangan jadi sekali air bah, sekali pasir berubah. Apa guna kita bertelagah sekiranya kaum bumiputera yang rugi, marilah kita rapatkan barisan bulatkan tekad untuk kesejahteraan ekonomi bumiputera dan umat Islam.
Pembentangan Bajet 2014 diharap ada berita baik tentang penambahan peruntukan untuk memperkasa agenda ekonomi bumiputera. utusan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan