Khamis, 9 Januari 2014

Pendirian Andrew perlu disanggah

Pengarang The Herald, Lawrence Andrew keluar dari kamar perbicaraan selepas Mahkamah Rayuan memutuskan kalimah Allah tidak boleh digunakan dalam majalah mingguan itu. - UTUSAN/Zaki Amiruddin


PADA 14 November lalu, dalam satu kenyataan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan semua rakyat khasnya di negeri ini tanpa mengira kaum dan latar belakang agama akur serta patuh kepada larangan pengunaan kalimah Allah oleh mereka yang bukan beragama Islam.
Dalam kenyataan khas itu, baginda mahu semua rakyat mematuhi larangan tersebut seperti mana yang telah tertakluk di bawah Seksyen 9, Bahagian 1 Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan Di kalangan Orang Islam) Selangor 1988.
Malah baginda juga turut menzahirkan pendirian tegas kalimah Allah tidak boleh digunakan sama sekali di Selangor oleh orang bukan Islam sebagaimana yang telah diperuntuk serta dikuatkuasakan dalam undang-undang serta fatwa negeri.
Selain itu, semua rakyat negeri Selangor perlu patuh kepada keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor yang telah diwartakan pada 18 Februari 2010 yang memutuskan kalimah Allah adalah kalimah suci yang khusus bagi agama dan umat Islam dan tidak boleh digunakan untuk merujuk kepada tuhan dalam agama-agama lain.
Sebelum itu pada 14 Oktober lalu, Mahkamah Rayuan memutuskan kalimah Allah tidak boleh digunakan dalam majalah mingguan The Herald.
Persoalannya, kenapakah Pengarang The Herald, Paderi Lawrence Andrew masih mahu mempertahankan pendiriannya supaya semua gereja di Selangor menggunakan kalimah Allah dalam perhimpunan mingguan mereka? Apakah motif dan niat beliau sebenarnya?
Ia memandangkan Andrew yang menetap di Selangor seharusnya patuh kepada titah Sultan Selangor yang merupakan Ketua Agama Islam di negeri itu dan arahan baginda berhubung larangan penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam tersebut berlandaskan kepada peruntukan undang-undang.
Justeru tidak perlulah, Andrew hendak berdolak-dalik dengan mengaitkan pula kenyataannya dengan dibuat berasaskan Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan bahawa setiap orang berhak menganuti serta mengamalkan agama masing-masing selain berhak menguruskan urusan agama sendiri seperti mana yang termaktub di bawah Perkara 11(3) perlembagaan yang sama.
Peruntukan undang-undang di Selangor sudah jelas, oleh itu beliau sepatutnya akur dan bukannya sengaja mahu mengambil satu tindakan yang kita percaya beliau mengetahui akan mencetuskan kontroversi.
Atas sebab itulah, pendirian Andrew ini perlu disanggah oleh semua umat Islam tanpa mengira apa juga fahaman politik kerana sebagai orang Islam, kita tidak boleh membiarkan kalimah Allah digunakan oleh bukan Islam kerana ia satu penghinaan kepada kalimah suci itu.
Ini memandangkan dengan membenarkan penggunaan kalimah Allah dalam agama lain selain agama Islam, ia seolah-olah kita meredakan martabat Pencipta Yang Maha Agung dan Maha Esa disekutukan.
Bagi penganut Kristian, mereka mempercayai konsep Triniti, iaitu God The Father, God the Son dan The Holy Ghost (Allah sebagai Bapa, Allah sebagai Anak dan Roh Kudus). Kepercayaan ini bertentangan dengan kepercayaan penganut agama Islam yang berpegang teguh bahawa Allah itu Tunggal, iaitu Maha Esa. Tiada dua, tiga atau banyak. Allah cuma satu.
Ini ditegaskan melalui firman-Nya dalam surah al-Ikhlas ayat 1-4 yang bermaksud: “Katakanlah: Dia-lah Allah, Yang Maha Esa, Allah adalah Tuhan yang bergantung kepada-Nya segala sesuatu. Dia tiada beranak dan tiada pula diperanakkan, dan tidak ada sesuatu yang setara dengan Dia."
Berikutan itu, usaha mempertahankan kalimah Allah wajib bagi orang Islam dan orang bukan Islam tidak berhak mempertikaikan langkah itu apatah lagi berusaha memancing kemarahan umat Islam dalam soal ini.
Sebab itulah, apa yang dilakukan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) merampas 351 naskhah Bible versi bahasa Melayu dan bahasa Iban yang mengandungi kalimah Allah di Petaling Jaya, Khamis lalu adalah tepat dan perlu disokong.
Kenapa pula tindakan itu dianggap bermotifkan politik seperti mana dituduh oleh Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago. JAIS bertindak berdasarkan kepada peruntukan undang-undang malah ia disahkan dibuat mengikut prosedur operasi standard (SOP) oleh Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Permodenan Pertanian dan Pembangunan Desa Selangor, Sallehen Mukhyi.
Justeru tidak timbul soal JAIS bermain politik atau bermotif politik dalam apa juga tindakan penguatkuasaan yang mereka lakukan. Apa sahaja perkara yang boleh dianggap menggugat dan mencemarkan kesucian serta ada peruntukan undang-undang yang membenarkan JAIS bertindak maka JAIS berhak berbuat demikian.
JAIS tidak perlu diajar atau dipaksa merujuk dahulu kepada mana-mana pihak apatah lagi bukan Islam jika mereka mahu mengambil tindakan. Penulis membangkitkan perkara ini kerana ada desakan daripada golongan tertentu bahawa selepas ini sebarang serbuan yang hendak dilakukan oleh JAIS harus mendapat kelulusan mutlak Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.
Tindakan seumpama ini jika berlaku sudah pasti merendahkan martabat JAIS. Adalah diharapkan ia tidak menjadi kenyataan kerana langkah seumpama itu sudah pasti sekali lagi akan membangkitkan kemarahan umat Islam.
Apa pun isu kalimah Allah dan serbuan JAIS itu seharusnya memberikan pengajaran kepada umat Islam betapa penting mereka bersatu dan bukannya meletakkan perhitungan demi kepentingan politik mengatasi segala-galanya. Janganlah kerana mahu kuasa dan kedudukan, segalanya yang berkaitan dengan Islam dipandang ringan.
Mungkin kerana tidak ada kesepakatan inilah, sejak kebelakangan ini semakin banyak isu yang menyentuh sensitiviti umat Islam dibangkitkan oleh pihak tertentu, seolah-olah mereka sama sekali tidak khuatir dengan reaksi umat Islam terhadap tindakan mereka.
Dulu tiada siapa yang berani menyentuh sensitiviti umat Islam, dulu tiada mana-mana pihak mempunyai keberanian mahu kalimah Allah digunakan oleh bukan Islam, dulu tiada siapa memiliki keupayaan untuk menyanggah titah raja-raja Melayu dan dulu juga sebarang tindakan oleh mana-mana jabatan agama Islam tidak pernah dipertikaikan.
Tetapi sekarang, suasana itu seolah-olah sudah berubah, pihak-pihak tertentu mempunyai keberanian luar biasa untuk menyentuh sensitiviti umat Islam.
Apakah dasar keterbukaan dan sikap toleransi yang ditunjukkan oleh orang Melayu dan umat Islam kini diambil kesempatan oleh pihak-pihak tertentu kerana mereka melihat umat Islam semakin berpecah-belah akibat berbeza fahaman politik?
Atau akibat semakin wujudnya kelompok Melayu liberal yang sudah tidak mempedulikan lagi kepentingan menjaga agama Islam dan hak-hak orang Melayu?
Sememangnya, tiada rakyat Malaysia tanpa mengira kaum mahukan konflik berlaku dalam negara ini apatah lagi jika ia berkaitan agama, tetapi setakat ini yang banyak bersabar ialah umat Islam yang seolah-olah semakin diasak kiri dan kanan oleh pihak-pihak tertentu.
Puak-puak seumpama ini perlu diberi peringatan bahawa kesabaran umat Islam ada hadnya dan keharmonian kaum serta agama yang selama ini kita kecapi tidak harus diganggu-gugat oleh mana-mana pihak.
Percayalah, apabila sekali sahaja konflik berkaitan agama tercetus maka ia akan mengundang petaka berpanjangan kepada negara, oleh itu pihak-pihak tertentu yang masih berdegil perlu memahami bahaya yang menanti -Utusan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan