Rabu, 4 Disember 2013

Ahli UMNO Mesti Celik IT, Kuasai Media Baru

KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak acap kali menekankan bahawa amat penting bagi ahli UMNO celik teknologi maklumat dan media baru, sekali gus membolehkan mereka mempengaruhi dan memenangi perang dunia maya.
Gambar di muka hadapan sebuah akhbar utama hari ini yang memaparkan Perdana Menteri memegang telefon pintar semasa menyampaikan amanat pada majlis Taklimat Presiden menjelaskan kepentingan celik IT dan media sosial.
Malangnya tatkala teknologi maklumat dan media sosial kini menjadi satu medium penghubung bagi memudahkan komunikasi, masih ramai anggota UMNO yang ketinggalan dalam perkembangan dunia IT termasuk tidak mempunyai mel elektronik atau e-mel.
Ini belum lagi menyentuh tentang penguasaan laman blog, Facebook, Twitter, Instagram atau apa jua aplikasi teknologi pintar lain yang memberi maklumat di hujung jari.
Menyifatkan ia sebagai satu situasi yang agak mengecewakan, Pengerusi Tetap Wanita UMNO Tan Sri Napsiah Omar berkata perkara itu tidak wajar berlaku di zaman serba canggih masa ini, apatah lagi ketika Umno sedang giat melakukan transformasi.
“Di zaman perkembangan dunia (diketahui) di hujung jari… masih ada lagi anggota Wanita bila ditanya alamat e-mel pun mereka tidak ada. Bagaimana sebuah pergerakan yang menjadi tulang belakang Umno, anggotanya masih belum mempunyai e-mel yang penting itu?” katanya ketika ditemui Bernama.
Napsiah berkata media sosial mempunyai kekuatan dan impak tersendiri kepada semua golongan masyarakat dan pendekatan mempelopori teknologi maklumat itu sepatutnya menjadi iltizam utama kepada Wanita.
Jelasnya, biarpun sudah melewati usia 40 tahun ke atas, ia tidak seharusnya menjadi penghalang kepada anggota Wanita untuk mahir dalam dunia IT dan mengetahui perkembangan semasa dengan lebih pantas.
“Wanita ada peranan yang penting, mereka mesti dikemas kini dengan apa yang berlaku di sekeliling mereka… di seluruh dunia.
“Sekarang, dalam satu saat pun berita boleh berubah… sebab itulah kita mahu semua anggota Wanita mengikuti peredaran masa dan memanfaatkan teknologi maklumat,” katanya.
Pemerhati politik Prof Madya Dr Shamrahayu Abdul Aziz berkata teknologi maklumat bukan sekadar menjadi medium penghubung dan pengumpul maklumat namun ia juga menjadi satu aspek penting untuk menjadikan Wanita kekal relevan pada masa kini.
Beliau berkata pergerakan Wanita terutama pemimpin tertinggi perlu lebih ke hadapan dalam mengejar maklumat terkini supaya mereka bukan sahaja tidak ketinggalan tetapi mampu menyampaikan maklumat terkini kepada masyarakat.
“Hendak tak hendak, IT sudah menjadi satu keperluan pada zaman kini, apa jua golongan pun, terutama anggota sesebuah pergerakan yang mempunyai tanggungjawab kepada masyarakat perlu mengenali dan mahir IT.
“Tidak ada alasan sebenarnya untuk anggota Wanita atau sesiapa sahaja tidak mahu mengenali IT atau memiliki e-mel kerana masing-masing hampir kebanyakannya menggunakan telefon pintar,” katanya.
Shamrahayu berkata, Wanita harus akur bahawa penggunaan IT menjadi sebahagian daripada kehidupan masa kini kerana ia dapat menjimatkan masa berhubung tanpa perlu bersua muka.
Menerusi aplikasi percuma yang boleh dimuat turun ke telefon pintar seperti Whatsapp dan Blackberry Messenger (BBM), beliau berkata seseorang bukan sahaja boleh membentuk kumpulan untuk sesi perbincangan tetapi juga menghantar maklumat, fail dan imej dengan cepat untuk perhatian ahli.
“Kalau sibuk sekalipun dan tidak sempat turun padang, mereka masih boleh berkomunikasi sekaligus menjadikan hubungan sesama ahli dan masyarakat lebih akrab,” katanya. – mynewshub

Tiada ulasan:

Catat Ulasan