Ahad, 15 Disember 2013

UMNO, Pas perlu bincang isu ummah

KUALA LUMPUR 14 Dis. - UMNO dan Pas dinasihatkan supaya 'duduk semeja' bagi merungkai pelbagai masalah melibatkan orang Melayu dan Islam, khususnya isu berkaitan Syiah.
Pengerusi Biro Antarabangsa, Institut Kerjasama Islam Antarabangsa Malaysia, Fakhrul Azman Abu Bakar berkata, untuk itu pendekatan 'muzakarah' tidak lagi sesuai digunakan.
''Duduk semeja dan bukannya berdebat yang tidak akan dapat menyelesaikan masalah, seperti mana pemimpin Pas serta pengikut mereka fikirkan apabila diajak berunding.
''Fahaman Syiah (khususnya) yang menular di negara ini perlu dibanteras habis-habisan, terutama yang dipegang serta diamalkan golongan berpengaruh seperti pemimpin politik, pendidik dan profesional,'' katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, isu-isu termasuk Syiah yang membawa perpecahan umat Islam wajar ditangani sebaiknya supaya negara tidak mudah dipergunakan pihak luar untuk menghancurkan Islam.
''Kita tidak mahu perpecahan ummah berlaku, seperti yang kita lihat di beberapa negara Islam lain. Zionis dan barat akan menggunakan perpecahan itu untuk menghancurkan Islam.
''Kita sedia maklum, mereka telah mempergunakan fahaman songsang atau fahaman Islam Liberal dalam usaha menghancurkan sistem negara ini dengan asas Islam sebagai agama Persekutuan,'' jelasnya.
Atas dasar itu ujarnya, pihak berkuasa perlu menangani ancaman tersebut termasuk menyiasat golongan pemimpin pelajar yang pernah menyertai Revolusi Iran pada 1979. - utusan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan