Isnin, 27 Januari 2014

“Sudah sampai masanya seluruh pemimpin UMNO bangun menentang fitnah pembangkang” – Syed Ali


PEMIMPIN  UMNO di semua peringkat termasuk ketiga-tiga sayap Wanita, Pemuda dan Puteri serta menteri dan timbalan menteri diseru bangkit memerangi serangan fitnah yang kini semakin hebat dilancarkan oleh parti pembangkang terhadap kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee menegaskan, sudah sampai masanya seluruh kepimpinan UMNO termasuk barisan Ahli Majlis Tertinggi (MT) bangkit memerangi dakyah dan provokasi pembangkang yang disifatkan semakin kerterlaluan.

Pemimpin UMNO tegas beliau,  tidak perlu lagi mengambil sikap ‘tunggu dan lihat’ serta hanya berpeluk tubuh terhadap serangan yang dilakukan pembangkang.

“Sampai bila kita perlu bersabar ? Kini kita kena bangkit dan melawan apa jua ancaman dan serangan yang dilancarkan pembangkang terhadap UMNO dan presiden parti,” tegasnya.

Katanya, pembangkang berusaha untuk melemahkan UMNO dan pentadbiran Najib dengan turut menjadikan keluarga Perdana Menteri sebagai mangsa serangan fitnah.

"Tak cukup dengan Najib, mereka (pembangkang) serang isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan anak beliau dengan pelbagai laporan fitnah dan tohmohan jahat," katanya.

Rosmah kata Syed Ali lagi, berterusan menjadi mangsa serangan fitnah pembangkang dengan pelbagai tuduhan tidak berasas disamping apa jua kerja -kerja kebajikan dilakukan beliau telah diputarbelitkan.

Sehubungan itu katanya, menjadi tanggungjawab seluruh ahli dan kepimpinan parti mempertahankan pentadbiran Perdana Menteri daripada menjadi bahan cercaan dan penghinaan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

Menurut beliau, Najib dipilih oleh ahli-ahli UMNO maka menjadi tanggungjawab kepada seluruh ahli-ahli parti untuk mempertahankan kepimpinan Perdana Menteri.

“Kita yang pilih Najib sebagai presiden parti, maka tidak sepatutnya kita membiarkan beliau keseorangan melawan asakan pembangkang, kita sepatutnya bersama beliau menentang musuh yang semakin keterlaluan,” ujarnya.

Katanya, UMNO sebagai sebuah parti yang menjadi teras pelindung kepada masa depan orang Melayu dan umat Islam tidak sepatutnya dibiarkan menjadi bahan kutukan pihak tertentu yang berselindung disebalik parti politik.

“Masanya sudah sampai untuk kita seluruh warga UMNO bangun  mempertahankan maruah dan kredibiliti parti dan pucuk pimpinan, kita kena bangkit menentang mereka habis-habisan,”tegasnya.

Beliau berkata, UMNO, orang Melayu dan umat Islam sekarang ini diperlekehkan oleh pihak tertentu dengan menggunakan pelbagai isu termasuk isu agama dan kaum.

Beliau turut kesal kerana sejak akhir-akhir ini bukan Melayu dilihat seperti sudah ‘naik tocang’ dengan memainkan sentimen perkauman dan agama sehingga mencetuskan keresahan di kalangan  masyarakat.

Katanya, selagi orang Melayu terutama ahli-ahli UMNO berdiam diri selagi itulah parti pembangkang termasuk mereka yang anti-Melayu akan melancarkan pelbagai provokasi.

“Kita kena ingat, agenda mereka adalah untuk meruntuhkan kerajaan yang dipilih oleh rakyat menerusi sistem demokrasi di negara ini, ujarnya.

Tambah beliau, pihak pembangkang akan melakukan apa sahaja dalam usaha mereka melihat rakyat hidup saling berbalah sesama sendiri di atas isu agama dan kaum.

Menurut beliau lagi, parti –parti pembangkang termasuk kumpulan anti-kerajaan menggunakan laman-laman sosial sebagai saluran penyebaran maklumat mereka dengan pelbagai fakta yang diputarbelitkan.

“Mereka sensasikan sesuatu isu tanpa fakta yang jelas, jadikan fitnah seolah-olah satu berita benar, ini yang menyebabkan rakyat jadi keliru,” tegasnya.

Sehubungan itu, beliau berharap seluruh  cawangan dan bahagian UMNO diseluruh negeri menggerakkan laman-laman sosial seperti portal berita dan laman blog bagi menyangi gerakan siber dilancarkan pembangkang.

Sementara itu, Syed Ali menyifatkan usaha Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Cheras mewujudkan blognya tersendiri sebagai menepati hasrat pucuk pimpinan parti untuk menangkis serangan pembangkang.

“Saya bangga kerana Wanita UMNO Bahagian Cheras berjaya mewujudkan blognya tersendiri sebagai senjata utama untuk memerangi dakyah pembangkang,” tegasnya.

Beliau yakin kewujudan blog Wanita UMNO Bahagian Cheras akan turut menjadi pemangkin kepada sayap parti itu dalam usaha menyalurkan pelbagai maklumat kepada ahli-ahlinya.

“Apa yang penting, Wanita UMNO Bahagian Cheras telah bergerak ke hadapan, seperti Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian yang masing-masing sudah pun mempunyai blog tersendiri,” ujarnya.

Pelancaran laman blog Wanita UMNO Bahagian Cheras akan disempurnakan oleh isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor esok (28 Januari 2014) di Hotel Berjaya Times Square, Kuala Lumpur.

Ketua Wanita UMNO Bahagian Cheras, Datuk Hajah Zurainah Haji Musa (gambar kanan) pula menyifatkan penubuhan laman blog itu sebagai langkah berkesan untuk memerangi dakyah pembangkang -


“Perang siber telah menjadi senjata utama parti-parti politik di negara ini, maka kita di pihak Wanita UMNO akan menggunakan saluran tersebut untuk menjawab pelbagai fitnah dan tohmohan pembangkang,” ujarnya -sumber

Tiada ulasan:

Catat Ulasan