IKATAN Muslimin Malaysia (ISMA) telah mengedarkan lebih 70,000 risalah berkaitan Gabungan NGO Liberal (Comango) selepas solat Jumaat di banyak masjid di Lembah Klang, kelmarin.
Risalah itu mendedahkan senarai NGO tersebut bersama sebahagian tokoh liberal yang didakwa sebagai dalang dalam tuntutan Comango.
Sebanyak 54 NGO Malaysia yang berfahaman liberal bergabung di bawah Comango, terlibat dalam proses Semakan Berkala Sejagat (UPR) di Geneva, baru-baru ini.
Mereka merupakan teras kepada gagasan NGO hak asasi manusia yang menghantar laporan kepada PBB untuk melobi dunia agar menekan Malaysia supaya mengiktiraf banyak tuntutan yang bercanggah dengan agama Islam dan Perlembagaan negara.
Menurut Timbalan Presiden ISMA, Aminuddin Yahaya, laporan Comango telah berjaya mempengaruhi sebahagian besar negara Eropah supaya Malaysia mengiktiraf gerakan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).
Comango juga mendesak Malaysia mengiktiraf kebebasan beragama termasuk untuk murtad dan penghapusan hak istimewa Melayu.
ISMA adalah di antara delegasi NGO Islam Malaysia yang menyertai proses UPR bagi mempertahankan kepentingan Islam dan Perlembagaan.
Awang sangat terganggu dengan tindakan 54 NGO itu yang ternyata mahu mendapatkan campur tangan asing bagi melakukan penjajahan baharu ke atas tanah air ini.
Ia adalah pengkhianatan era moden terhadap kedaulatan negara. Biarlah Malaysia diurus dengan pendekatan Malaysia.
Sebahagian NGO itu berselindung atas nama hak asasi manusia tetapi sebenarnya membawa agenda parti pembangkang tertentu, yang gagal melakukannya menerusi kuasa rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).
Kalau dikaji profil, hampir kesemua tokoh NGO liberal itu adalah pendokong mahupun aktivis propembangkang terutama DAP dan PKR. Sebahagiannya, NGO yang sama menggerakkan Bersih pimpinan S. Ambiga dan Maria Chin.
Awang berharap kerajaan tidak akan tunduk dan terperangkap dalam percaturan yang mempunyai implikasi yang dahsyat ke atas negara kita.
Ia bukan lagi soal isu hak asasi manusia dan kebebasan tetapi lebih kepada isu ancaman keselamatan negara.
Maka Awang bersetuju dengan saranan delegasi NGO Islam agar kerajaan menyekat aktiviti 54 NGO itu. Jika mereka dibiarkan tanpa disekat, negara boleh huru-hara, kata Aminuddin.
Kegagalan untuk bertindak akan memberi isyarat yang salah kepada rakyat negara ini. Awang juga bimbang kalangan tertentu umat Islam akan bertindak balas secara ekstrem, yang akhirnya memudaratkan keharmonian negara.
Difahamkan, hanya 12 daripada 54 NGO itu berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS). Mengapa pertubuhan haram boleh bergerak aktif tanpa dikenakan tindakan?
Juga, sudah menjadi rahsia terbuka, sebahagian NGO berkenaan mendapat bantuan dana pihak asing yang mahu menjadikan Malaysia negara sekular.
Antaranya Suaram pernah disiasat atas kegiatan yang dikhuatiri menggugat keselamatan negara tetapi sampai hari ini tiada hasilnya.
Sekali lagi isunya kita tidak yakin, malah mungkin tidak tahu untuk bertindak. Aduh, sakit kepala.
Sebab itu makin galak fenomena kaduk naik junjung. Merekalah sebenarnya lebih berkuasa berbanding pihak berkuasa. Di mana silapnya?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan