Aku copy terus dari sini
Assalamualaikum Pak Syed.
Saya
mulakan nota ini dengan lafaz keramat Bismillahhirrahmannirrahim, agar
dengannya saya terpandu dan terpimpin untuk menyatakan sesuatu dengan
niat kerana Allah jua. Hidup ini ringkas, singkat.
Saya bimbang jika saya bertangguh, tidak sempat maka saya akan gagal mnjawab di Mahkamah Allah Rabbuljalil.
Saya tidak berpeluang bercakap di Perhimpunan Agung UMNO walaupun saya telah mnjadi ahli UMNO sejak berumur 18 tahun
(Puluhan
tahun lalu) Pada ketika itu saya menjadi ahli UMNO kerana datuk nenek
dan ibu bapa saya mahu saya mewarisi mereka. Menjadi ahli UMNO yang
setia sehingga ke akhir hayat.
Setelah
sekian lama, baru sekarang saya mencatat sesuatu yang lahir daripada
sudut hati saya. Jauh terbenam. Bergelora dan bercampur baur. Sayu,
bimbang, kasih, marah saling kait mengait. Keliru juga sedang ikut sama
mengisi secara serentak perasaan dan pemikiran saya.
Kalau
boleh saya ingin berdiri di puncak gunung. Seluruh saf kepimpinan UMNO
duduk bersila di sekeliling saya, berteleku mendengar saya bercakap
meluahkan segala perasaan dan pemikiran saya dan kemudian saya redha
mengadap Tuhan dengan mata tertutup rapat.
Saya
ini orang UMNO. Dulu, kini dan insyaallah selamanya. Ini amanah datuk
nenek saya. Saya genggam erat amanah ini. Tapi pada masa datuk saya
menjadi ahli UMNO, beliau beberapa kali berjabat salam dengan Almarhum
Tunku Abdul Rahman dan Allahyarham Tun Razak.
Datuk
saya adalah ahli UMNO yang tidak memegang jawatan dalam parti, bahkan
tidak bersekolah tinggi. Masih ada gambar kenangan mereka bersama
tersimpan dalam almari peninggalan nenek. Walaupun telah kabur tapi ia
tetap jelas dan dapat dikenali.
Pada
masa itu tiada slogan atau ungkapan ' merasa denyut nadi rakyat '.
Tetapi memang Presiden Parti turun ke cawangan cawangan UMNO , bercakap
tentang hasrat dan cita cita parti. Arahala negara ke mana hendak
dibawa.
Saya
bertanya kepada rakan rakan Ketua Cawangan di kawasan saya, pernahkah
bersalaman dengan Presiden UMNO? Tidak kata mereka sebab sewaktu
Presiden parti turun ke negeri hanya pemimpin Bahagian dan Negeri yang
berpeluang berdialog bersamanya.
Bahkan
saya terkejut apabila diberitahu ada pemimpin cawangan tidak pernah
bersua muka dengan Menteri Besar , tidak pernah. Maka sayapun mula rasa
keliru, adakah benar UMNO ini parti inklusif atau sekadar pemanis mulut
semata mata. UMNO sudah menjadi elitis dan bangsawan lebih bangsawan
dari zaman Allahyarham ayahanda Tengku dulu.
UMNO
mesra rakyat, UMNO pejuang masa depan melayu, UMNO penyelamat melayu
dan 1001 macam lagi retorik dan hegemoni politik yang berterusan
disuapkan dan dimomokkan kedalam kepala otak orang melayu sehinggakan
orang melayu sekarang ini sebegitu takut untuk berfikir dan bertindak
melainkan terus memilih UMNO. Terus percaya UMNO pejuang dan menjamin
survival melayu.
Barangkali
kebenaran ini semua hanya 10 peratus sahaja tetapi yang 90 peratus lagi
adalah bagi menjamin tembolok dan perut pemimpin UMNO terus kenyang dsn
berisi. Hebat politik UMNO ni.
Saya
mohon maaf kerana menjangka nyawa UMNO ini sudah tidak lama.
Percayalah. Kunci nyawa UMNO adalah cawangan cawangan. Saya mula dapat
rasakan pemimpin dan ahli di cawangan cawangan mula rasa seperti 'tidak
berguna'.
Pengalaman
menghadapi PRU 13 baru baru ini amat melukakan hati kami di cawangan
cawangan. Tsunami 2008 telah menyebabkan UMNO memulakan gerak kerja
sebaik sahaja keputusan PRU 12 diumumkan. Pusat Daerah Mengundi
ditubuhkan, Bilik Gerakan dimulakan di peringkat Cawangan dan Lokaliti.
Di
tempat saya, Ketua Cawangan diberikan peruntukan yang amat minima.
Kerana itu ramai yang menggunakan wang sendiri untuk menjayakan kerja
kerja Jalinan Rakyat, Ceramah dan bengkel. Tiada peruntukan, itulah
alasan yang diberikan oleh Bahagian. Atas nama perjuangan, segala
tanggungjawab dilaksanakan.
Tiba
tiba kami terkejut apabila mendapat tahu, Kampung Baru Cina diberi
peruntukan ratusan ribu ringgit. Hampir setiap minggu diadakan makan
malam bertaraf hotel, menelan belanja puluhan ribu ringgit untuk sekali
program. Maaf, saya kedengaran seperti cemburu, tetapi hakikatnya setiap
minggu Ahli Parlimen kami hadir untuk program program bersama pengundi
Cina dan India.
Sewaktu melawat ke kampung kami untuk Solat Jumaat, Ketua Cawangan diberikan tiga ratus ringgit untuk makan tengahari.
Di waktu PRU 13 makin hampir, kami di cawangan semakin tertekan. Program semakin banyak,
peruntukan tidak juga turun sehinggalah Parlimen dibubarkan. Bayangkan
perasaan kami di cawangan cawangan bilamana diperuntukkan dengan biskut
mayat, air mineral dan rokok jenama OK (Kononnya diimport dari India)
Merokok
adalah amalan tidak sihat, tetapi Pemuda kita di cawangan sebahagiannya
merokok. Kata mereka rokok OK ini, nyamuk pun pengsan kerana asapnya.
Pemimpin bercakap tentang perjuangan dan pengorbanan tetapi mereka datang dengan kereta mewah dan menghisap curut luar negara.
Barangkali
darah UMNO yang pekat menyebabkan kami terus bekerja dan alhamdulillah
UMNO khasnya di kerusi luar bandar telah menyelamatkan kerajaan UMNO/BN
ini. Perdana Menteri dan Presiden parti seakan amat menghargai UMNO
apabila dengan berani mengisytiharkan Tsunami Cina telah berlaku.
UMNO
menunggu dan menunggu. Apakah pengumuman besar Perdana Menteri untuk
membalas pengorbanan kami selama ini. Sehingga kini tiada apa
sebenarnya, tiada.
Yang
diumumkan kenaikan harga minyak. Yang diumumkan kenaikan harga gula.
Yang diumumkan kenaikan harga rokok. Dan yang diumumkan hari ini
kenaikan tarif elektrik. Kami terkedu, malu. Kami beberapa hari tidak
keluar ke kedai kopi kerana sewaktu kempen PRU13, kami janjikan Kerajaan
yang prihatin dan memahami kesukaran rakyat.
Kami
telah gagal mengotakan janji. Kami menjadi bahan lawak rakan rakan
kerana hakikatnya selepas PRU 13, tiada apa apa yang istimewa untuk kita
Orang Melayu yang telah menyelamatkan kerajaan UMNO/BN.
Kalaulah
saya berpeluang bercakap kepada Perdana Menteri, saya ingin katakan
betapa sukarnya menjadi aktivis UMNO di kampung kampung. Rakan rakan
menyatakan Perdana Menteri telah hilang kawalan. Gagal mengawal
segalanya. Saya bukan orang pandai. Bila ada orang datang dan beritahu
orang kampung DS Najib sangat kuat membazir, mereka datang dengan data.
Saya pula hampir percaya kerana Perdana Menteri tidak pernah
menafikannya, bahkan kadang kala sinis bergelak ketawa.
Saya
tak mampu menjawab bahawa DS Najib membazir apabila untuk ubahsuai
rumah sahaja dalam tempoh lima tahun menghampiri 100 juta sedangkan
untuk baikpulih rumah fakir miskin di kampung saya hanya lima ribu
diperuntukkan.
Ada
orang memberitahu saya, Datin Rosmah Mansur mempunyai peruntukannya
sendiri dan diwartakan dalam Bajet Negara. Apa agaknya yang patut saya
nyatakan. Dalam Parlimenpun namanya disebut mengguna ' jet peribadi
untuk lawan peribadi keluar negara '.
Anak
anak muda di cawangan saya, yang pada PRU13 telah menyokong UMNO hari
ini memberitahu saya bahawa di dalam blog dan face book banyak
dinyatakan pembaziran yang Datuk Seri lakukan. Berbilion ringgit
digunakan untuk hanya beberapa orang duduk berbincang dan memberi
cadangan. Sedangkan yang bertungkus lumus memenangkan parti ialah kami
di cawangan cawangan.
Anak
anak kami celik maklumat. Mereka membaca berbagai cerita di dalam blog
dan setakat ini tiada satupun yang dijawab oleh Perdana Menteri. Diam
bermakna benar. Kami diminta untuk berhemah dalam berbelanja sedangkan
Perdana Menteri dengan mudah berbelanja untuk sesuatu yang tidak pasti
arah tujuannya.
Saya
menerima amanah daripada datuk nenek saya, ibu bapa saya untuk terus
bersama UMNO. Tapi saya berterus terang saya tidak berani meminta anak
anak saya untuk setia bersama UMNO sedangkan saya sendiri mula meragui
kemampuannya mentadbir negara.
Saya
cuba berlapang dada. Namun kenyataannya pada setiap kali Datuk Seri
bercakap tentang kemakmuran dan kemampuan negara, saya sentiasa terfikir
kenapa semua harga barangan dan perkhidmatan naik sedangkan harga getah
kami di kampung kekal rendah ?
Saya
tidak fikir, saya mampu lagi untuk berdepan dengan orang kampung yang
susah, anak muda yang menganggur dengan memberikan janji janji yang
baru. Saya bimbang saya akan jadi orang tua yang tidak dihormati kerana
bercakap perkara yang tidak betul.
Beberapa
hari lagi UMNO akan mengadakan Perhimpunan Agung. Saya sudah dapat
bayangkan, ucapan bersemangat Presiden Parti, disusuli sorak sorai
perwakilan. Kemudian akan ada perwakilan mengatakan inilah ucapan
terbaik Presiden Parti.
Perbahasan
selepas itu, akan mengandungi pujian pujian dan lawak jenaka. Akhirnya
semua pulang tanpa sebarang keputusan yang padu untuk membina umat
Melayu.
Saya
mula berasa bimbang kerana dalam hati saya sudah ada keraguan. Saya
mula mencari apakah kekuatan DS Najib Razak untuk kita banggakan ?
Malangnya sampai sekarang saya tidak menemui apa apa. Bahkan sebaliknya
saya mula berasa, DS Najib hanya berjaya berjanji tapi gagal menepati
janji.
Saya
amat bimbang, jika dalam PRU 13, orang Melayu di kampung telah
menangkan UMNO, pada PRU 14, orang Melayu yang berasa tertipu dan
terpedaya tidak akan berikan sokongan yang sama.
Kalaulah
saya boleh bercakap dengan DS Najib, saya ingin katakan barangkali
masanya telah sampai untuk beliau berundur kerana beliau telah gagal dan
UMNO perlukan orang yang lebih ' gagah berani' untuk mencapai kejayaan
di masa depan. Konsultan dan penasihat penasihat DS Najib lebih teruk
dari bebudak tingkat 4 sebelum ini. DS Najib sebenarnye lebih teruk dari
PM sebelum dia. DS Najib harus baca rintihan dan suara dari blog blog
popular untuk sedar diri dan mengetahui rating dia sebagai PM sekarang
ini. DS Najib jangan hanya tertumpu kepada Utusan dan jangan hanya
dengar Omar Ong.
Perletakan
jawatan Tun M sebagai penasihat Petronas mesti dilihat sebagai satu
indikasi yang serius tentang tahap pemerintahan DS Najib.
Percaya
saya, ramai orang Melayu tidak pandai bercakap tetapi semuanya
mempunyai perasaan yang sudah semakin meluat dengan kepimpinan negara.
Khalayak yang marhain ini sudah mulai muak dengan muka dan retorik PM
sekarang.
PM nak jaga semua penasihat dan konsultan dia, jagalah!
Kalau
kami rakyat yang setia ini tidak dipeduli, tidak didengari, tidak
diendakan maka tunggulah PRU14 ini akan kami pastikan undi kami kepada
"syaitan yang telah kami kenali" kerana selama ini, baru kami sedar,
kami semua dibohongi oleh "malaikat yang tidak kami kenali"
PK
Tiada ulasan:
Catat Ulasan