Ahad, 15 Disember 2013

Retorik UMNO ada batas

 AHLI UMNO bersemangat sewaktu mengikuti ucapan penggulungan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak melalui skrin besar di ruang legar Pusat Dagangan Dunia Putra sempena Perhimpunan Agung UMNO 2013 di Kuala Lumpur, 7 Disember lalu. - UTUSAN/AZLAN HADI ABU BAKAR

Perhimpunan Agung UMNO yang baru seminggu berlalu, besar kesannya terhadap saya secara peribadi yang pertama kali duduk di kerusi Ahli Majlis Tertinggi (MT). Perhimpunan ini bukan sekadar memenuhi tuntutan Pendaftar Pertubuhan (ROS) tetapi lebih besar daripada itu.
Ia adalah perhimpunan pemimpin Melayu bagi mencorak masa depan anak bangsa. Ia merupakan pertemuan peribadi bagi sekalian yang hadir memenuhi segenap ceruk Dewan Merdeka.
Saya kira, hanya pemimpin, ahli dan penyokong parti yang benar-benar memahami peri pentingnya pertemuan keluarga besar UMNO itu. Tidak mengapa kerana yang utama, kita tahu mengapa kita berada di sana.
Segala yang berlaku sepanjang Perhimpunan Agung UMNO 2013 mempunyai kepentingan tersendiri- tidak kiralah gerai yang berakhir dengan lelongan bagi menarik pelanggan, kumpulan makcik yang setia mengikuti ucapan dan perbahasan sambil bersila di depan layar besar di Aras 2 PWTC, atau sesi teh tarik tanpa henti bersama rakan-rakan sepanjang persidangan.
Semua itu, yang berlaku di luar dewan, sama penting dengan ucapan, keluhan, teguran dan cadangan perwakilan yang bergema di dalam Dewan Merdeka.
Kita bersua muka di luar dewan dan pantas bersalaman serta berpelukan sambil bertanya khabar selepas lama tidak berjumpa. Kemesraan itu menenggelamkan tinggi atau rendahnya jawatan kita dalam parti kerana yang terlintas di hati hanyalah keseronokan bertemu ahli keluarga selepas sekian lama.
Tanpa disedari, jabatan tangan dan pelukan dalam suasana kemeriahan itu turut mengukuhkan parti. Ketua bahagian dan ahli akar umbi saling berbual dan bertukar pandangan tanpa banyak protokol, malah ada kalanya Presiden parti turut menyapa kerana seperti saya katakan, ini adalah pertemuan adik-beradik UMNO.
Saya ada terbaca komen sinis sesetengah pihak yang mengatakan Perhimpunan Agung UMNO 2013 tidak lebih daripada retorik. Jawapan saya mudah. Mereka melihatnya sebagai retorik, saya melihatnya sebagai menyuntik semangat perjuangan.
Bagi kepemimpinan UMNO, Perhimpunan Agung UMNO adalah medan terbaik bagi kita menaikkan suhu semangat perjuangan ahli di semua peringkat. Ini adalah sebagai persediaan awal menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), dalam tempoh empat tahun. Percayalah, empat tahun bukan tempoh yang panjang.
Kita jangan emosional atau hipokrit apabila membicarakan soal retorik. Semua parti politik di dunia bergantung kepada retorik sebagai penyambung perjuangan dan isu retorik jugalah yang menjadi pengisian dalam setiap perhimpunan agung parti masing-masing.
Ini boleh dilihat dalam Konvensyen Tahunan Parti Demokrat dan Republikan di Amerika Syarikat, Parti Buruh dan Konservatif di Britain dan di kampung halaman kita sendiri setiap kali Pas, DAP dan PKR mengadakan muktamar serta konvensyen tahunan. Justeru, apa perlu dihairankan apabila Perhimpunan Agung UMNO dipenuhi retorik kerana satu dunia melakukannya!
Pun demikian, retorik UMNO ada batasnya. Harus diingat, banyak isu yang dibangkitkan dan idea baru dikembangkan dalam setiap Perhimpunan Agung UMNO. Kombinasi idea baru dan retorik parti ini mencetuskan semangat luar biasa dalam diri ahli setiap tahun, malah mereka meninggalkan perkarangan PWTC di akhir perhimpunan dengan tekad untuk terus berjuang demi parti disayangi.
Susur galur ini mungkin tidak difahami penggerak laman web yang bagai tidak menang tangan mengecam UMNO. Pelbagai tohmahan dan kritikan dilempar terhadap Perhimpunan Agung UMNO kali ini tetapi tidak mengapalah kerana bagi saya, setiap orang berhak meluahkan pandangan dan mereka boleh terus berbuat demikian.
Bagaimanapun, mereka lupa bahawa ada idea dan cadangan yang dikemukakan dalam Perhimpunan Agung UMNO kali ini boleh dibincang ke peringkat Majlis Tertinggi dan dengan kelulusan parti selepas diperhalusi sedalam-dalamnya, dibawa pula ke peringkat Kabinet. Itu cara UMNO atas nama perjuangan untuk semua.
Ada juga laporan media online mendakwa UMNO kini dilihat lebih bersifat berhaluan kanan sejak PRU-13, dan lebih cenderung kepada proses Islamisasi atau radikalisme. Saya juga terbaca tweet pemimpin DAP, Lim Kit Siang, yang memetik analisis berita portal online mengenai dakwaan ini.
Pandangan saya mudah. UMNO adalah parti yang menghormati proses demokrasi yang didukungi kuasa majoriti. Oleh kerana golongan majoriti Melayu/bumiputera terus menyokong UMNO dan Barisan Nasional (BN), maka seharusnyalah UMNO mendengar suara majoriti serta mengkaji dasar-dasar yang setimpal dengan kehendak golongan majoriti berkenaan.
Kita harus menghormati kaedah ini kerana ia memenuhi tuntutan proses demokrasi. Rakyat memberi undi dan menjadi tanggungjawab UMNO serta BN untuk menghormati sepenuhnya kepercayaan itu selepas mereka memilih kerajaan sedia ada bagi mengekalkan kuasa.
Secara peribadi, saya berpendapat Lim Kit Siang harus menyalahkan diri sendiri kerana cuba 'mengaburi' mata pengundi bukan bumiputera untuk tidak menyokong BN. Di akhirnya, golongan berkenaan yang menanggung akibatnya berikutan kekurangan wakil mereka dalam kerajaan.
Ditakdirkan 'Green Party' bertapak di Malaysia dan menjadi kuasa politik utama yang membantu mengekalkan UMNO sebagai parti nombor satu Malaysia, pastinya rakyat akan mendengar mengenai dasar dan desakan mereka melaksanakan dasar yang mapan serta mesra alam.
Bagaimanapun, dalam konteks Perhimpunan Agung UMNO yang baru lalu, semua saranan dan desakan supaya dasar lebih tegas serta radikal dilaksanakan parti akan dikaji secara mendalam di peringkat MT UMNO, selain turut dibincang bersama rakan komponen dalam BN. Asasnya ialah kita mesti mendengar suara majoriti!
PAU 2013 turut peranan lebih besar yang digerakkan sayap Pergerakan Wanita dan Puteri dalam parti selama ini. Saya setuju dengan saranan Wanita supaya ahlinya yang berusia bawah 35 tahun menjadi ahli Puteri UMNO secara automatik sebelum diserap sebagai ahli Wanita UMNO sebaik melepasi usia 35 tahun. Percaturan itu agak sistematik dan harus digalakkan bagi membantu usaha mengukuhkan kedua-dua sayap.
Saya berpandangan keanggotaan dalam Puteri UMNO harus dikekalkan sehingga mereka berusia 40 tahun. Pada usia iu, ahli yang menyertai Wanita UMNO memiliki kelayakan dan pengalaman politik sewajarnya untuk dijadikan bekalan berkecimpung di peringkat lebih tinggi.
Saya juga gembira melihat sayap Pemuda, yang saya pernah anggotai tidak lama dulu, kekal menjadi sayap penting UMNO dalam mendokong dasar-dasar kritikal untuk agama dan bangsa.
Inilah indahnya UMNO. Keluarga besar ini tidak pernah sunyi daripada pelbagai ragam dan kerenah namun semuanya diterima sebagai sebahagian daripada proses yang mendewasakan parti. Saya yakin 3.4 juta ahli UMNO sayangkan parti ini kerana ikrar perjuangan kami tidak pernah berubah.
Atas nama agama, bangsa dan negara, perjuangan keramat UMNO akan dipelihara selama-lamanya- utusan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan