PERHIMPUNAN Agung UMNO ke-67 yang berakhir Sabtu minggu lalu tentu
sekali meninggalkan bekas mendalam pada semua pendokong parti. Buat
penulis yang buat pertama kali berada di atas pentas bersama-sama dengan
pimpinan utama parti selaku ahli Majlis Tertinggi UMNO yang dilantik,
turut sama merasai keterujaan perhimpunan tahunan keluarga besar UMNO.
Lebih menarik lagi dalam perhimpunan kali ini, selain isu-isu kitar
semula yang sering berkumandang setiap kali perbahasan, Presiden UMNO
Datuk Seri Najib Tun Razak turut menggagaskan idea baru yang segar
sebagai teras idealisme perjuangan UMNO untuk masa depan.
Salah satu teras utama yang digagaskan Presiden selain meletakkan
agenda Islam sebagai asas utama perjuangan, ialah aspek pengkaderan
sebagai agenda besar buat UMNO untuk melangkah ke hadapan dengan lebih
berkesan.
Yang dimaksudkan dengan pengkaderan bukan sekadar program menarik
lebih ramai warga masyarakat khususnya dalam kalangan generasi muda
untuk menyertai UMNO. Pengkaderan juga tidak hanya berbentuk program
indoktrinasi parti secara melulu agar pendokong berterusan taksub dan
bersetia dengan parti.
Sebaliknya program pengkaderan yang dicetuskan Presiden UMNO adalah
satu pendekatan segar, dinamik dan komprehensif untuk melahirkan lebih
ramai pewaris perjuangan parti yang benar-benar mampu menjiwai
perjuangan berteraskan agama, bangsa dan tanah air.
Apa yang penting UMNO sebagai parti tunjang rakyat Melayu-Islam
tentunya memerlukan program pengkaderan yang kemas dan berkesan bagi
mempersiapkan generasi pewaris yang mampu menggalas amanah perjuangan
bangsa.
Kegagalan melahirkan generasi pewaris yang kuat dan berkualiti boleh
mengakibatkan organisasi menjadi usang dimamah waktu hingga kehadirannya
tidak lagi dirasai bahkan ketiadaannya pula disyukuri.
Apa yang lebih merunsingkan andainya pewaris-pewaris UMNO adalah
dalam kalangan mereka yang lompong nilai perjuangan hinggakan yang lebih
mengakar ialah nilai individualistik dan materialistik yang mampu
menjahanam parti. Memang ketika ini semakin banyak gejala yang
mengisyaratkan kepudaran idealisme perjuangan di kalangan para pendokong
perjuangan.
Mengakarnya gejala politik wang misalnya adalah salah satu petanda
bahawa perjuangan politik sedang mengalami krisis pendangkalan nilai
yang parah. Lebih membimbangkan penulis sekiranya generasi pewaris
diselaputi pemikiran bahawa perjuangan parti merupakan kerjaya cari
makan atau lebih serius lagi jika ditanggapi sebagai wahana mengaut
keuntungan, memperkayakan diri, keluarga dan suku-sakat.
Akhirnya, parti akan semakin hilang manusia-manusia berjiwa pejuang
yang sanggup berkorban jiwa-raga dan harta-benda demi sebuah perjuangan
yang luhur dan suci. Sebaliknya yang lahir adalah petualang-petualang
berjiwa rakus yang sentiasa bersiap-siaga menghidu peluang dan ruang
untuk memuaskan serakah nafsu yang tidak pernah kenal erti puas.
Sebab itulah usaha penjernihan harus segera dilakukan bagi membentuk
idealisme luhur di kalangan generasi pewaris UMNO kini. Idealisme
perjuangan yang dimaksudkan pastinya tidak boleh lari daripada matlamat
asal perjuangan UMNO iaitu memartabatkan agenda Melayu-Islam sebagai
teras perjuangannya.
Keunikan
Yang dimaksudkan dengan agenda Melayu-Islam tentunya meletakkan agama
Islam sebagai teras perjuangan bangsa Melayu dalam konteks negara
Malaysia. Inilah sebenarnya keunikan dan dinamiknya perjuangan
kebangsaan di Malaysia yang tidak boleh terpisah daripada unsur-unsur
pengintegrasian antara elemen kaum dan agama.
Hakikatnya negara semacam berada di persimpangan apabila membicarakan
pelbagai isu-isu Melayu dan kemelayuan termasuklah yang menyentuh aspek
pendidikan, bahasa, budaya, akhlak muda-mudi, ekonomi dan politik orang
Melayu. Usaha mempertahankan jati diri dan sistem nilai dalam era dunia
tanpa sempadan kini juga cukup mencabar sekali.
Justeru usaha penjernihan harus segera dilakukan bagi membentuk
idealisme luhur dalam kalangan generasi penerus perjuangan umat Melayu
bagi memartabatkan agama dan bangsanya. Idealisme yang dimaksudkan
pastilah memerlukan ramuan berteraskan tasawwur, prinsip dan nilai-nilai
Islam sejati.
Memang Islam adalah satu-satunya benteng ketahanan umat Melayu.
Sepanjang sejarah perjuangan Melayu, Islam sentiasa menjadi sumber
dinamika dan daya juang setiap pendokongnya. Malah Islamlah yang
menerasi keperibadian, watak dan pemikiran Melayu.
Takrif Melayu itu sendiri menurut Perlembagaan negara ialah seseorang
yang beragama Islam, berbahasa Melayu dan mengamalkan adat resam
Melayu. Tanpa Islam, Melayu akan kehilangan segala-gala termasuk
keperibadiannya. Sebarang usaha menanggalkan Islam juga bererti
menghilangkan nilai kemelayuan itu sendiri.
Sebab itulah usaha mempersiapkan generasi pewaris yang kuat harus
dimulai dengan penjanaan generasi muda yang terbangun di atas dinamika
ketakwaan, keimanan dan keilmuan yang kental. Generasi muda yang
dibangunkan di atas dasar tauhid pasti akan lebih memahami dan menjiwai
amanah perjuangan umat yang bakal diwariskan kepada mereka.
Keterikatan kepada prinsip dan nilai-nilai agama dengan sendirinya
membentengi mereka daripada segala bentuk penyimpangan yang boleh
memporakperandakan agenda besar perjuangan bangsa dan negara.
Generasi berkualiti seperti ini jelas ternukil dalam al-Quran:
Generasi yang tidak mudah dilalaikan oleh perniagaan dan jual beli
(untuk mengaut keuntungan duniawi) daripada mengingati Allah. Mereka
mengerjakan solat dan membayar zakat. Mereka sentiasa gentar kepada hari
yang pada ketika itu hati dan penglihatan mereka bergoncang". (An-Nur:
37)
Demikianlah generasi Quranik yang menyepadukan unsur-unsur duniawi
dan ukhrawi, rohani dan jasmani, iman dan amal, ilmu dan akhlak sehingga
segala strategi hidupnya sentiasa berpaksikan Islam. Keterlibatan dalam
politik mahupun kegiatan ekonomi bukan hanya didorong oleh keserakahan
nafsu tetapi dirangsang oleh prinsip agama dan nilai kehambaan jitu pada
yang Maha Esa.
Membina generasi pewaris Melayu yang kuat merupakan satu jihad yang
perlu berterusan mendapat perhatian utama pucuk pimpinan UMNO
terutamanya dalam menghadapi pelbagai realiti cabaran masa kini dan hari
depan.
Apa yang harus dikhuatiri, kegagalan mempersiapkan generasi penerus
perjuangan yang beridealisme Islam yang luhur hanya mengundang
kecelakaan bukan sahaja kepada survival parti malah masa depan bangsa,
agama dan negara.
Cukuplah isyarat al-Quran mengenai keperluan membina generasi pewaris
yang kuat dijadikan iktibar: Dan mereka seharusnya takut kepada Allah,
andainya meninggalkan di belakang mereka zuriat yang lemah".
(An-Nisa:9)
Penulis adalah Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim).- utusan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan