KOTA BHARU 2 Ogos - Pada saat sesetengah pimpinan Pas menyelar dan memperkecilkan usaha media arus perdana membuat paparan besar-besaran tentang ancaman Syiah di negara ini, pimpinan tertingginya pula menyatakan kesyukuran dengan pendedahan yang dilakukan.
Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, laporan yang disiarkan media kebelakangan ini menunjukkan kesedaran tinggi bahawa agama bukan perkara yang boleh dibuat ikut sesuka hati.
Menurutnya, hasil daripada pendedahan besar-besaran media juga menyebabkan masyarakat menjadi gerun dengan ajaran Syiah yang jelas jahat dan salah.
Menurutnya, kebelakangan ini dalam akhbar banyak melaporkan tentang Syiah, ini tanda masyarakat mulai sedar bahawa Islam ini tidak boleh dibuat pandai- pandai.
"Saya sendiri sudah tiga atau empat kali melawat Iran atas jemputan tetapi akhir-akhir ini walaupun ada jemput, saya tidak pergi, serabut perut tengok (amalan di Iran). Yang peliknya di dunia ini ada empat mazhab fekah iaitu Hambali, Syafie, Hanafi dan Maliki tetapi kesemua pengikut boleh hidup molek dan tidak bertikam, malah ulama di Universiti Azhar pun berlainan mazhab tidak bergaduh.
"Namun antara Sunni dan Syiah kita bergaduh, tidak boleh hidup bersama, kerana apa? Kerana ada satu pihak yang salah dan jahat tetapi paksa orang lain terima dia. Alhamdulillah perasaan gerun kepada Syiah mula timbul di Malaysia, kerana akhbar menunjuk hal dia, mujurlah," katanya ketika menyampaikan kuliah di hadapan Pejabat Badan Perhubungan Pas negeri, di sini hari ini.
Bagaimanapun, dalam masa sama, Nik Abdul Aziz mengingatkan bahawa fahaman Syiah adalah sama sesatnya dengan golongan sekular yang menolak Islam sebagai cara hidup.
"Kena ingat Syiah dan sekular serupa sahaja, sama-sama bodoh, sama-sama sesat belaka, Syiah (walaupun) terima Islam tapi dia baiki (ubah), ada nikah mutaah, mana ada orang tak nak nikah free, nikah mutaah ini hanya nak puja nafsu, tak kira bini, anak orang, dia terima Saidina Ali sahaja tetapi sumpah sahabat-sahabat lain, ini barang yang tak betul," katanya.
Laporan media arus perdana termasuk Utusan Malaysia tentang isu Syiah seolah-olah diperlekehkan apabila ada pemimpin Pas seperti Naib Presiden, Salahuddin Ayub dan Ketua Penerangan, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang mendakwa pendedahan isu itu sengaja dilakukan untuk memecah-belahkan parti itu sebagaimana dilaporkan lidah rasminya Harakah.
Malah, seorang lagi Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar dilaporkan memberi ulasan sinis: "Syiah itu benda apa? Kuih berbuka puasa? Saya pun tak tahu apa Syiah. Ingat kuih buka puasa. Kawasan saya buat bubur lambuk sahaja," kepada soalan tentang isu ini yang diajukan Utusan Malaysia kepadanya baru-baru ini.
Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan mengesahkan terdapat beberapa pemimpin dari sebuah parti pembangkang secara aktif terlibat menghebahkan fahaman Syiah di beberapa negeri - sumber
Tiada ulasan:
Catat Ulasan